
Masalah ini menurut Ahmad Shalaby, (1975) adalah sangat
penting, sebab banyak golongan-golongan telah menggabungkan diri pada Syi'ah,
sebagaimana yang telah sebutkan. Sebenarnya mereka itu samasekali bukanlah
Syi'ah, bahkan bukanlah Islam. Mereka menggunakan nama Syi'ah itu sebagai muslihat,
lalu mereka jalinkan bermacam-macam kebohongan dan kebatilan dengan maksud
memperdayakan Islam dan kaum Muslimin. Maka golongan Syi-'ah yang sebenar telah
menanggungkan risiko dari perbuatan mereka ini. Kebanyakan buku-buku sejarah
Islam yang lama dan yang baru telah menganggap semuanya sebagai
golongan-golongan Syi'ah.
Kita sekarang ini memerlukan saringan yang
halus untuk dapat menyisihkan pasir dari beras, sehingga pasir itu tidak lagi
akan dianggap beras. Kita ingin berkata tentang mereka ini yang diberi sebutan
"Syi'ah Ghulah" (berlebi-lebihan) dan orang-orang yang sejenis dengan
mereka, bahawa mereka itu samasekali bukanlah Syi'ah, bahkan bukanlah termasuk
golongan Muslimin.
Apabila kita sanggup melakukan perkara ini,
bererti kita dapat mengeluarkan dari Syi'ah itu berpuluh-puluh golongan yang
mengaku sebagai golongan Syi'ah, padahal mereka yang sebenarnya bukanlah
demikian. Maka tidak perlulah kiranya as-Syahristani, Ibnu Hazm, Ahmad Amin dan
lain-lainnya membuang-buang semangat untuk menulis berpuluh-puluh halaman
tentang riwayat hidup dari orang-orang yang fasik ini, dengan anggapan bahawa
mereka adalah penganut-penganut Syi'ah, padahal mereka ini hakikatnya tidak
mempunyai hubungan samasekali dengan Syi'ah, baik hubungan yang dekat ataupun
jauh.
Mengenai ini, Brockelmann (Tarikhhus-Syu’ub
al-Islamiyah, ms. 137) berkata: "Syi'ahisme awal mulanya merupakan
organisasi suatu turunan semata-mata yang masuk berlindung di bawah benderanya
kebanyakan orang yang menganut Islam kerana maksud ingin menentang ketuanan
bangsa Arab. Dalam banyak hal, ia merupakan tabir yang berlindung di
belakangnya orang-orang oppotunis yang merasa tidak aman dan tidak punya hak
untuk mencapai cita-citanya yang menentang pemerintah bagi kepentingan diri
sendiri semata-mata.
Jelaslah bahawa banyak di antara
musuh-musuh Islam dan para penganut bermacam-macam aliran dan agama,
terutamanya orang-orang Yahudi (Ahmad
Shalaby, 1975), telah menyelinap masuk ke dalam golongan
Syi'ah dan menggabungkan diri kepada Ahlulbait, dengan maksud untuk memperdayakan
Islam. Mereka dengan sengaja telah memasukkan ke dalam mazhab Syi'ah itu
bermacam-macam kesesatan dan kebohongan.
Masalah yang mendapat perhatian sangat
besar dari mereka ini ialah pembicaraan tentang Imam-Imam. Mereka berusaha
mengalihkan Imam-Imam itu dari suatu sifat kepada sifat yang lain dan dari
suatu kedudukan kepada kedudukan yang lain, yang hampir-hampir tak ada
batasnya.
Dwight Donalds (dlm Aqidatus Syi'ah, ms.58)
berkata sebagai berikut:
"Kalau kita pelajari kehidupan
Imam-Imam itu secara teliti dan mendalam niscaya akan tampaklah bagi kita suatu
fakta yang penting; iaitu bahawa orang-orang yang tidak mempunyai kelebihan
apa-apa daripada orang biasa, telah diangkat ke barisan orang-orang besar yang
namanya kekal sepanjang masa. Kehidupan mereka yang sebenarnya dahulu tiadalah
mendapat pujian yang begitu tinggi ataupun pentakdisan, akan tetapi
cerita-cerita yang dibuat oleh orang-orang kemudian telah memberikan kemuliaan
yang berlebih-lebihan kepada mereka dan menjadikan mereka sebagai orang-orang
suci, bahkan sebagai nabi-nabi dan tuhan-tuhan."
Jaafar
as-Sadiq pun tiada memandang berat sesuatu selain
daripada ilmu pengetahuan, fiqh dan hidup berzahid. Dia tidak pernah mengira
dirinya tergolong dalam barisan para Imam, bahkan dia hidup dalam keadaan ridha
di masa pemerintahan al-Ma'mun, demikian pula di masa pemerintahan
putera-mahkotanya kemudiannya. Tetapi orang-orang yang datang sesudahnya telah
mengira nama para Imam itu dalam suatu senarai yang teratur, padahal mereka
sendiri tidak tahu-menahu tentangnya dalam hidupnya.
No comments :
Post a Comment