Monday, December 7, 2015

Perbezaan antara Syi'ah dan para pengaku Syi'ah.

Tulisan ini adalah untuk meletakkan batas-batas yang terang antara yang hak dan yang batil. Ia bermaksud untuk melakukan kajian sehingga sekarang masih belum mendapat perhatian yang nyata dari para pengkaji-pengkaji yang bersangkutan dengan golongan ini. Maka perlu ada garis pemisah antara Syi'ah yang sebenarnya dan para pengaku Syi'ah.

Masalah ini menurut Ahmad Shalaby, (1975) adalah sangat penting, sebab banyak golongan-golongan telah menggabungkan diri pada Syi'ah, sebagaimana yang telah sebutkan. Sebenarnya mereka itu samasekali bukanlah Syi'ah, bahkan bukanlah Islam. Mereka menggunakan nama Syi'ah itu sebagai muslihat, lalu mereka jalinkan bermacam-macam kebohongan dan kebatilan dengan maksud memperdayakan Islam dan kaum Muslimin. Maka golongan Syi-'ah yang sebenar telah menanggungkan risiko dari perbuatan mereka ini. Kebanyakan buku-buku sejarah Islam yang lama dan yang baru telah menganggap semuanya sebagai golongan-golongan Syi'ah.

Kita sekarang ini memerlukan saringan yang halus untuk dapat menyisihkan pasir dari beras, sehingga pasir itu tidak lagi akan dianggap beras. Kita ingin berkata tentang mereka ini yang diberi sebutan "Syi'ah Ghulah" (berlebi-lebihan) dan orang-orang yang sejenis dengan mereka, bahawa mereka itu samasekali bukanlah Syi'ah, bahkan bukanlah termasuk golongan Muslimin.

Apabila kita sanggup melakukan perkara ini, bererti kita dapat mengeluarkan dari Syi'ah itu berpuluh-puluh golongan yang mengaku sebagai golongan Syi'ah, padahal mereka yang sebenarnya bukanlah demikian. Maka tidak perlulah kiranya as-Syahristani, Ibnu Hazm, Ahmad Amin dan lain-lainnya membuang-buang semangat untuk menulis berpuluh-puluh halaman tentang riwayat hidup dari orang-orang yang fasik ini, dengan anggapan bahawa mereka adalah penganut-penganut Syi'ah, padahal mereka ini hakikatnya tidak mempunyai hubungan samasekali dengan Syi'ah, baik hubungan yang dekat ataupun jauh.

Mengenai ini, Brockelmann (Tarikhhus-Syu’ub al-Islamiyah, ms. 137) berkata: "Syi'ahisme awal mulanya merupakan organisasi suatu turunan semata-mata yang masuk berlindung di bawah benderanya kebanyakan orang yang menganut Islam kerana maksud ingin menentang ketuanan bangsa Arab. Dalam banyak hal, ia merupakan tabir yang berlindung di belakangnya orang-orang oppotunis yang merasa tidak aman dan tidak punya hak untuk mencapai cita-citanya yang menentang pemerintah bagi kepentingan diri sendiri semata-mata.

Jelaslah bahawa banyak di antara musuh-musuh Islam dan para penganut bermacam-macam aliran dan agama, terutamanya orang-orang Yahudi (Ahmad Shalaby, 1975), telah menyelinap masuk ke dalam golongan Syi'ah dan menggabungkan diri kepada Ahlulbait, dengan maksud untuk memperdayakan Islam. Mereka dengan sengaja telah memasukkan ke dalam mazhab Syi'ah itu bermacam-macam kesesatan dan kebohongan.

Masalah yang mendapat perhatian sangat besar dari mereka ini ialah pembicaraan tentang Imam-Imam. Mereka berusaha mengalihkan Imam-Imam itu dari suatu sifat kepada sifat yang lain dan dari suatu kedudukan kepada kedudukan yang lain, yang hampir-hampir tak ada batasnya.

Dwight Donalds (dlm Aqidatus Syi'ah, ms.58) berkata sebagai berikut:
"Kalau kita pelajari kehidupan Imam-Imam itu secara teliti dan mendalam niscaya akan tampaklah bagi kita suatu fakta yang penting; iaitu bahawa orang-orang yang tidak mempunyai kelebihan apa-apa daripada orang biasa, telah diangkat ke barisan orang-orang besar yang namanya kekal sepanjang masa. Kehidupan mereka yang sebenarnya dahulu tiadalah mendapat pujian yang begitu tinggi ataupun pentakdisan, akan tetapi cerita-cerita yang dibuat oleh orang-orang kemudian telah memberikan kemuliaan yang berlebih-lebihan kepada mereka dan menjadikan mereka sebagai orang-orang suci, bahkan sebagai nabi-nabi dan tuhan-tuhan."


Jaafar as-Sadiq pun tiada memandang berat sesuatu selain daripada ilmu pengetahuan, fiqh dan hidup berzahid. Dia tidak pernah mengira dirinya tergolong dalam barisan para Imam, bahkan dia hidup dalam keadaan ridha di masa pemerintahan al-Ma'mun, demikian pula di masa pemerintahan putera-mahkotanya kemudiannya. Tetapi orang-orang yang datang sesudahnya telah mengira nama para Imam itu dalam suatu senarai yang teratur, padahal mereka sendiri tidak tahu-menahu tentangnya dalam hidupnya.